FORUM AKADEMIK : Tujuan Belajar dan Pengurusan Masa yang Baik

img20181023213448

Nilai, Negeri Sembilan – Pada 23 Oktober 2018 yang lepas, sebuah program yang berjudul Forum Akademik : Tujuan Belajar dan Pengurusan Masa yang Baik telah dianjurkan dengan jayanya oleh Jawatankuasa Siswa/i Kolej Kediaman Nilam Court (KKNC) di Dewan Terbuka Kolej tersebut. Seramai lebih daripada 50 pelajar KKNC telah hadir bersama dalam forum tersebut bagi mendengar pengisian yang telah disampaikan oleh En Muhammad Iqmal dan Cik Ayuni Shahira selaku panel penceramah jemputan pada malam tersebut. En Muhammad Iqmal merupakan bekas graduan Sarjana Muda Fakulti Ekonomi Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan kini sedang melanjutkan pengajian Sarjana di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam fakulti yang sama manakala Cik Ayuni Shahira pula adalah panel penceramah yang merupakan pelajar Sarjana Muda USIM tahun tiga dari Fakulti Sains dan Teknologi. Beliau merupakan mantan Exco Kebajikan 2 Sekretariat Fakulti Sains dan Teknologi (SEKREFAST) dan pernah menerima Anugerah Dekan selama tiga semester berturut – turut.

Objektif utama penganjuran program ini adalah bagi memberikan kesedaran kepada para pelajar akan tujuan kedatangan mereka ke Universiti dan kepentingan mengurus masa dengan baik. Pelajar perlu sedar bahawa kepelbagaian penglibatan aktiviti dalam Kokurikulum mahupun persatuan hendaklah diseimbangkan dengan pembelajaran.

Antara Pengisian menarik yang telah disampaikan oleh En Muhammad Iqmal adalah, Kokurikulum merupakan medium yang amat penting bagi pelajar bagi mengasah bakat kepimpinan dan secara tak langsung dapat membezakan tahap kemahiran seseorang pelajar berbanding pelajar – pelajar lain. Tambah beliau lagi, dengan kemahiran yang tinggi dalam mengurus program – program, melakukan pembentangan, mengagihkan tugas – tugas dalam kerja berkumpulan dan lain – lain yang lazimnya diperoleh melalui penglibatan dalam Kokurikulum  merupakan nilai mahal yang tak semua pelajar ada. Ini secara tidak langsung memberikan peluang pekerjaan yang lebih terbuka kepada graduan yang terlibat dalam Kokurikulum berbanding mereka yang tidak terlibat dalam aktiviti tersebut. Selain itu, bagi Cik Ayuni Shahira, penglibatan Kokurikulum adalah wajib bagi setiap pelajar kerana dari penglibatan tersebut, pelajar dapat mencungkil bakat dalam diri dan mengenal potensi diri dengan lebih mendalam. Ianya juga dapat meningkatkan kemahiran pelajar dalam meyelesaikan permasalahan yang berlaku kerana gerak kerja berpesatuan tidak selalunya lancar. Maka, penting bagi pelajar untuk menceburi bidang Kokurikulum ini bagi menggilap kecemerlangan diri.

Namun, harus ditekankan bahawa dalam kesibukan berpesatuan, usah meletakkan pelajaran di tempat terakhir kerana tujuan utama kedatangan pelajar ke Universiti adalah untuk menuntut ilmu akademik. Kurikulum dapat menjamin masa depan pelajar dan pengurusan masa yang berkesan perlu dilaksanakan dan antara perkara yang perlu dielakkan dalam diri pelajar adalah sikap menangguh – nangguh dalam menyelesaikan apa – apa jenis tugasan.

Comments are closed.

Powered by WordPress.com.

Up ↑

Create your website at WordPress.com
Get started
%d bloggers like this: